Mydin guna TUKAR kukuh kedudukan

Bimbing 100 pekedai runcit di luar bandar
Source: Berita Harian - 14 March 2011

mydin guna TUKAR

MYDIN Mohamed Holdings Bhd, akan menjadikan pembabitannya dan Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) sebagai landasan terbaik mempelajari dan meneliti keperluan pelanggan pasaran runcit luar bandar, justeru memanfaatkan rancangan pengembangannya ke seluruh negara.

Pemborong terkemuka tempatan itu akan membimbing 100 pekedai runcit secara berperingkat sepanjang tahun ini menerusi program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang diwujudkan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).Mydin setakat ini sudah membantu proses transformasi tiga kedai runcit luar bandar, masing-masing dua di Merlimau dan satu di Kerdau dengan menyasarkan 10 kedai runcit akan dipertingkatkan setiap bulan sepanjang tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata kumpulan itu mahu langkah kumpulan membabitkan diri dalam projek TUKAR adalah antara usahanya mengukuhkan kedudukan di seluruh negara sebelum menimbang untuk meneroka pasaran luar atau disenaraikan di Bursa Malaysia.Katanya, walaupun Mydin sudah memenuhi semua keperluan penyenaraian, tetapi ia hanya akan mengapungkan sahamnya dalam tempoh tiga tahun lagi selepas mencapai skala ekonomi, termasuk membuka lebih banyak cawangan.

Beliau berkata, Mydin merancang membuka 14 pasar raya besar di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun membabitkan pelaburan bernilai RM1.3 bilion.Ameer menjelaskan, pelaburan itu akan dibiayai menerusi terbitan bon, pinjaman bank dan proses bina dan jual kepada pelabur institusi tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji."Kami merancang menerbitkan bon bernilai RM350 juta, yang meliputi kos tiga pasar raya besar."

"Apabila rancangan dimuktamadkan, kami akan membuat keputusan sama ada ia adalah bon konvensional atau sukuk,katanya, baru-baru ini." Mydin, bersama-sama dua pasar raya asing, Carrefour dan TESCO akan melabur RM5.43 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek TUKAR bagi membantu memodenkan kedai runcit dalam usaha meningkatkan daya saing pemiliknya.

Sebanyak 5,000 kedai runcit di seluruh negara yang dikenal pasti oleh kementerian akan terbabit dalam projek itu. Ameer berkata, semua kedai runcit program TUKAR di bawah kendaliannya dijangka boleh menjana pendapatan antara 30 peratus hingga 50 peratus lebih tinggi daripada sebelum transformasi. Setakat ini, tiga kedai runcit yang sudah menjalani proses itu meraih nilai jualan sehingga 50 peratus lebih tinggi, katanya.