MYDIN Lancar SLDN Tingkat Kemahiran Pekerja

Source: Utusan Malaysia - 20 October 2011

Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) peringkat pasar raya MYDIN di seluruh Malaysia dilancarkan hari ini bagi menjalani latihan semula serta mempertingkatkan kemahiran pekerjanya dalam bidang peruncitan. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, SLDN ini merupakan satu inisiatif bijak pihak MYDIN dalam mentransformasikan pekerja ke tahap yang lebih mahir serta memiliki kualiti kerja yang baik bagi memenuhi kehendak dan piawaian industri peruncitan masa kini dan akan datang.

“Program ini juga bagi memastikan staf baru dan sedia ada memahami hala tuju kerjaya dan menjalani kerja dengan lebih mencabar serta mempertingkatkan produktiviti. “Usaha MYDIN ini harus dipuji kerana mementingkan latihan dan mempunyai inisiatif dalam mempertingkatkan kecemerlangan kakitangannya dalam dunia peruncitan”,katanya ketika berucap di majlis pelancaran SLDN dan perasmian Pusat Latihan Akademi Peruncitan (MYRA) dekat sini, hari ini. Program SLDN mengambil nisbah 70 peratus hingga 80 peratus latihan amali manakala selebihnya adalah kelas teori.

Seramai 190 orang perantis yang terdiri daripada pembantu jurujual, juruwang, pembantu perkhidmatan pelanggan, penyelia, eksekutif operasi, penolong pengurus dan pengurus akan menjalani tempoh latihan selama tiga bulan hingga dua tahun mengikut tahap kemahiran yang diambil. Turut hadir, Pengarah Sumber Manusia Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datin Dr. Siti Hawa Mohd dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Nidzam Kamarurzaman.

Menurut Datin Siti Hawa, MYRA adalah ilham Pengarah Urusan MYDIN, Dato’ Hj Ameer Ali bagi memudahkan megadakan program SLDN. MYRA yang telah ditubuhkan pada September tahun lalu telah mendapat kelulusan daripada Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) serta JPK sebagai pusat latihan yang bertauliah. “Kini kami mempunyai akademi sendiri yang dilengkapi dengan alatan latihan serta teknologi informasi bagi meningkatkan keberkesanan latihan yang dijalankan”, katanya.