Mydin, SME Corp jalin kerjasama anjur fiesta PKS

MYDIN menjalin usaha sama dengan SME Corp mengajurkan Fiesta PKS yang sedang berlangsung sehingga 25 April 2011 ini.
Source: Sinar Harian - 16 April 2011

MYDIN menjalin usaha sama dengan SME Corp mengajurkan Fiesta PKS yang sedang berlangsung sehingga 25 April 2011 ini. Pameran tersebut bertujuan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka ke pasar raya besar dan mempromosikan produk ke pasaran tempatan dan luar negara.

Fiesta PKS itu berlangsung di lapan buah cawangan Mydin terpilih iaitu Pasar Raya Besar Mydin USJ, Melaka, Kubang Kerian, Bukit Jambul, Kuala Terengganu, Melaka Bazaar, Emporium Mydin Seri Muda dan Selayang. Selain itu, Mydin dan SME Corp turut menganjurkan Hari Terbuka PKS yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam di Pasar Raya Besar Mydin USJ.

Program itu memberi peluang kepada usahawan bertemu dengan kakitangan Mydin dari Bahagian Pemerolehan Produk bagi mendapatkan khidmat nasihat dan berbincang mengenai peluang untuk memasarkan produk keluaran mereka di Mydin.

Hari Terbuka PKS turut menyediakan platform kepada usahawan bertemu dan berbincang secara langsung dengan agensi terlibat seperti SME Bank Malaysia Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (My IPO), Tabung Ekonomi Kumpluan Usaha Niaga (Tekun) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Agensi tersebut boleh membantu usahawan PKS mendapatkan khidmat nasihat dan panduan berhubung kemudahan pinjaman, latihan keusahawan, perlabelan, pembungkusan dan persijilan halal. Justeru itu, pengusaha PKS juga berupaya menghasilkan produk berkualiti di samping menigkatkan kemahiran dari segi pengurusan dan pembangunan produk melalui sesi khidmat nasihat dan konsultasi bagi meneroka pasaran berkapasiti besar.