Pasar Raya Mydin jana jualan RM10 juta

Source: Kosmo - 09 August 2012

ALOR SETAR – Pasar Raya Besar Mydin di Taman Saga di sini yang telah beroperasi sejak lima bulan lalu telah menerima sambutan menggalakkan apabila menerima kunjungan lebih daripada tiga juta orang. Pengurusnya, Azmin Saduruddin berkata, dengan purata kunjungan pengguna kira-kira 22,000 orang sehari telah membolehkan pihaknya menjana jualan lebih daripada RM10 juta sebulan.

“Tawaran harga rendah setiap hari telah menjadi tarikan kepada pengguna yang mahukan penjimatan dalam perbelanjaan harian mereka. “Sejak dibuka Mac lalu, para pengguna telah memberi maklum balas positif tentang barangan yang ditawarkan di Mydin kerana ia berada dalam lokasi strategik berdekatan taman perumahan selain terletak di destinasi susur masuk ke laluan Lebuh raya Utara Selatan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka bersama anak-anak yatin dan warga emas di pasar raya itu di sini baru-baru ini.

Seramai 70 anak yatim dari Pertubuhan Kabajikan Anak-anak Yatin Batu 9 dan warga emas dari sekitar Alor Mengkudu di sini diraikan dalam majlis yang diadakan julung-julung kali di pasar raya cawangan itu. Selain itu, Azmin yang juga Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara itu berkata, bersempena musim perayaaan kali ini, pasar raya tersebut akan melanjutkan tempoh operasi sehingga 12 tengah malam bagi tiga hari terakhir menjelang Aidil Fitri. Katanya, pelbagai tawaran menarik disediakan kepada pengujung termasuk kepada harga rendah sehingga 30 peratus untuk pakaian raya berbanding pasaran. “Antara promosinya ialah menawarkan sepasang baju Melayu dan baju kurung dijual antara RM29 hingga RM79,” katanya