Pendapatan peruncit meningkat

Lima tahun lalu, pendapatan diraih hasil jualan kedai runcit Maznah Gemilang Enterprise di Taman Merlimau Utara di sini, tidak lebih RM4,000 sehari, tetapi sejak pertengahan bulan meningkat kepada tidak kurang RM5,200 projek tranformasi kedai runcit (TUKAR) dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP)
Source: Berita Harian - 04 March 2011
PELANGGAN kagum melihat perubahan hasil program TUKAR di sebuah pasar mini di Merlimau.

MERLIMAU: Lima tahun lalu, pendapatan diraih hasil jualan kedai runcit Maznah Gemilang Enterprise di Taman Merlimau Utara di sini, tidak lebih RM4,000 sehari, tetapi sejak pertengahan bulan meningkat kepada tidak kurang RM5,200 projek tranformasi kedai runcit (TUKAR) dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pemiliknya, Mahmud Mohamad, 47, berkata beliau bertuah kerana diberi peluang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) untuk melaksanakan perubahan terhadap perniagaan menjual barangan runcit kering dan basah milik keluarganya itu sejak 15 Februari lalu. Katanya, menerusi projek TUKAR, kerajaan bukan saja menyediakan dana untuk membaik pulih susun atur kedai kepada lebih sistematik, pengurusan akaun dan barangan lebih baik, malah turut menyediakan khidmat rundingan untuk memastikan kedai runcit dapat berdaya saing.

"Daripada maklum balas awal, pelanggan berpuas hati dengan susun atur dan kebersihan serta lebih tertarik untuk membeli di kedai ini," katanya yang ditemui sempena kunjungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, semalam.Mahmud yang memiliki tiga pekerja adalah antara tiga pemilik kedai runcit yang sudah mengalami transformasi menerusi projek TUKAR di seluruh negara sejak ia dilancarkan awal tahun ini.

TUKAR adalah antara Peneraju Projek Permulaan (EPP) bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif. Menerusi ETP, bidang pemborongan dan peruncitan antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang diberi tumpuan oleh kerajaan ialah dalam bidang pemborongan dan peruncitan. Seorang lagi pemilik Pasar Mini Baru Merlimau, Francisca Jayanathan, 44, yang mengambil alih pengurusan kedai runcit daripada mendiang bapanya sejak tiga tahun lalu, kini mampu tersenyum puas apabila perniagaannya itu mampu meraih hasil jualan tidak kurang RM3,000 sehari, berbanding sebelum ini hanya antara RM1,500 hingga RM1,900.

Katanya, beliau memang berminat menaik taraf perniagaan diusahakan mendiang bapanya sejak tujuh tahun lalu tetapi tidak tahu untuk berbuat demikian. "Hasil keprihatinan kerajaan menerusi projek TUKAR mampu mengubah nasib peniaga kedai runcit seperti saya dan saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya KPDNK yang memberikan peluang untuk saya mengembangkan perniagaan," katanya. "Ada pelanggan yang terkejut dan secara spontan mengatakan salah masuk kedai kerana kagum dengan perubahan yang dilakukan terhadap susun atur dan kekemasan kedai," katanya yang yakin jumlah pelanggan ke kedai runcitnya akan terus meningkat.

  • INFO: Kedai runcit moden TUKAR adalah antara Peneraju Projek Permulaan memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.