POKB sasar kutipan Tabung Gaza RM40,000

Source: Utusan Malaysia - 26 November 2012

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menyasarkan sumbangan sebanyak RM40,000 bagi Tabung Gaza yang dilancarkan pada minggu lalu. Presidennya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan pada hari pelancaran pada 22 November lalu, mereka telah mengutip sumbangan sebanyak RM20,000.

Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (lima dari kiri) menyerahkan Tabung Gaza POKB kepada Abdul Aziz Kasim pada Program Santai Makan Durian Terpilih UPM bersama POKB dan kakitangan JPM di UPM, semalam. "Tabung Gaza yang dilancarkan ini bertujuan meringankan beban warga Palestin yang diserang Israel baru-baru ini. "Ini merupakan sumbangan kecil kami kepada mereka. Tabung ini yang dilancarkan pada minggu lalu adalah untuk tempoh dua minggu sahaja. "Pada masa ini kami meletakkan tabung tersebut di pasar raya Mydin dan cawangan restoran Secret Recipe," katanya kepada Utusan Malaysia di Serdang dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Santai Makan Durian Terpilih Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama POKB dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Tambah Sheikh Ahmad, sumbangan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh pemegang amanah POKB, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohamed Tahir sebelum diberikan kepada wakil Palestin.

Terdahulu, pada majlis hari ini, wakil kakitangan JPM turut menyampaikan sumbangan yang diusahakan oleh Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Aziz Kasim. Mereka yang berminat menyumbang, boleh menghubungi Ketua Sekretariat Tabung Gaza POKB, Wan Mohamed Deen Wan Mohamed Zin di talian 012 3729291. Sumbangan juga boleh dibuat menerusi akaun Maybank POKB 512718102982.