Riuh Mak Dara Gegar MYDIN

riuh mak dara Program Riuh Mak Dara yang berlangsung di pasaraya besar MYDIN Subang Jaya baru-baru ini cukup berbeza. Mana tidaknya, program kali ini menyaksikan penglibatan barisan finalis Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011 sebagai sebahagian daripada aktiviti mereka dalam mengharungi cabaran untuk bergelar seorang ratu. Selain mempromosikan produk-produk keluaran Jamu Mak Dara, objektif program juga adalah memberi peluang kepada peserta-peserta Ratu Kebaya untuk berinteraksi dengan khalayak ramai. Nampak seperti mudah bukan? Tetapi hakikatnya, ia merupakan cabaran hebat buat peserta akhir kita kerana ia menguji kemahiran mereka untuk berkomunikasi dengan penonton.

Ia boleh dilihat melalui cabaran yang menyaksikan bagaimana mereka mempamerkan bakat mereka untuk menghiburkan penonton sepanjang program berlangsung. Ada yang menyanyi, ada yang berceloteh dan ada juga yang pandai membuat aksi lakonan apabila diminta. Finalis Ratu Kebaya sememangnya berbakat. Selain itu, program juga turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan yang sekali gus melengkapkan lagi malam santai penonton di Mydin. Gelagat Watie Elite dan Erry Putra ternyata menjadi.Bukan sahaja menyanyi, Watie dan Erry juga pandai memancing ramai pengunjung di pasar raya tersebut untuk terus melekat menonton persembahan mereka sehingga selesai. Suasana juga semakin gamat dan riuh apabila Watie turut diiringi oleh barisan finalis yang bertindak ala penyanyi dan penari latar untuk persembahannya. riuh mak dara

Ternyata semua peserta memang sporting! Sebelum terlupa, program Riuh Mak Dara ini juga diadakan sempena pelancaran buku MYDIN Di Sebalik Tabir. Buku ini cukup istimewa kerana ia merupakan hasil nukilan Pengarah Sumber Tenaga Manusia Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datin Dr. Siti Hawa Mohd. Sekadar makluman, buku ini mendedahkan segala pahit dan manis yang dilalui oleh pengasasnya, Tuan Mydin Mohamed. Siti Hawa ketika ditemui Pancaindera ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya tatkala berkongsi cerita mengenai kelahiran buku tulisannya itu. "Hajat untuk menghasilkan buku ini sudah lama saya pendamkan. Sejak tahun 1998 lagi. Namun semua itu saya terpaksa ketepikan dulu kerana sibuk. "Baru kini keinginan ini dapat direalisasikan dan saya gembira kerana akhirnya naskah ini berjaya diterbitkan.

riuh mak dara "Saya lebih suka menyifatkan naskah ini sebagai sebuah naskah motivasi khususnya buat mereka yang suka kepada bidang peruncitan. "Namun, itu bukanlah fokus utama. Tujuan buku ini diterbitkan adalah untuk berkongsi dengan jutaan pelanggan kami mengenai suka dan duka Tuan Mydin dan kegigihannya dalam bidang perniagaan. Semua peringkat umur pun boleh memilikinya, " katanya. Apa yang menarik, sepanjang program ini, Watie dan Erry juga membantu pihak Mydin mempromosikan buku tersebut yang dijual pada harga cuma RM12.90 senaskah. Bukan nak kata, tapi memang larislah! Tahniah kepada Siti Hawa kerana berjaya menghasilkan buku yang bermutu di samping harga yang murah untuk semua pembaca di seluruh Malaysia.