Sasar kutip RM40,000 isi Tabung Gaza POKB dalam 2 minggu

Source: Utusan Malaysia - 23 November 2012

gaza KUALA LUMPUR 22 Nov. - Atas nama tanggungjawab, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) hari ini melancarkan Tabung Gaza POKB bagi membantu meringankan beban penderitaan rakyat di Semenanjung Gaza. Presidennya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya bersama Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) dan Secret Recipe Sdn. Bhd. (Secret Recipe) akan meletakkan tabung sumbangan di semua premis mereka di seluruh negara. ''Kita menetapkan sasaran sebanyak RM40,000 dana dalam tempoh dua minggu dengan meletakkan beberapa tabung di semua premis Mydin dan Secret Recipe di seluruh negara.

''Hasil kutipan itu akan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diserahkan kepada wakil Kedutaan Palestin di Malaysia," katanya dalam majlis Pelancaran Tabung Gaza POKB di Pasar Raya Mydin Subang Jaya, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Tabung Gaza POKB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin dan Pengarah Urusan Secret Recipe, Datuk Steven Sim. Tambah Sheikh Ahmad Dusuki, pihaknya berasa terpanggil dengan berita-berita yang dilaporkan media mengenai pencerobohan yang tidak berperikemanusiaan Israel tersebut.

Katanya, serangan kejam Israel terhadap penduduk Semenanjung Gaza bukan hanya membunuh rakyatnya tetapi turut membawa kemusnahan harta benda, kemudahan awam dan infrastruktur di negara tersebut. Beliau berkata, POKB mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Gaza kerana serangan itu perbuatan yang tidak dapat diterima. Orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 512718102982 atas nama Persatuan Orang Kota Bharu.