Sektor Pemborongan dan Peruncitan Penyumbang Kejayaan ETP

Source: UUM Online - 29 May 2012

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sektor pemborongan dan peruncitan di negara ini merupakan antara sektor yang menyumbang kepada kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan oleh kerajaan. Katanya, ini merupakan faktor penentu kepada semua usaha-usaha membangun dan memajukan transformasi negara dengan bergantung kepada keupayaan membekalkan modal insan yang dikehendaki oleh industri.

“Ini merupakan salah satu tujuan kita untuk membangunkan modal insan yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan sektor pemborongan dan peruncitan. “Lebih 500,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam bidang ini yang merupakan isyarat kepada semua bahawa sektor ini mempunyai potensi besar untuk terus maju dan berkembang pesat,” katanya sewaktu sidang media sempena Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE), Pemborongan dan Peruncitan di Multi Purpose Hall, Kolej Universiti Segi, semalam. Beliau juga mengulas, bahawa kerjasama yang melibatkan dua gergasi pemborongan dan peruncitan negara ini iaitu, Malaysian Retail Chain Association (MCRA) dan Mydin Mohamed Holding Berhad ini juga turut membantu menawarkan peluang kerja sambilan kepada pelajar. “Penyertaan pelajar dalam kerja sambilan yang ditawarkan oleh industri, boleh membantu pelajar yang masih dalam peringkat pengajian untuk mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Pelajar bukan sahaja akan memperolehi sumber pendapatan malah memperolehi pengalaman yang berguna dalam bidang perniagaan atau peruncitan,” tambah beliau. Sementara itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, kerjasama antara universiti ini bersama MCRA dan MYDIN membawa erti yang cukup besar kepada UUM dalam usaha menjadi sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka dan pada masa yang sama meningkatkan lagi hubungan dengan industri.

“Kerjasama seperti ini memberi peluang kepada pelajar kita untuk menjalani latihan praktikum serta pendedahan mengenai keusahawanan khususnya dalam bidang pemborongan dan peruncitan dan kepada pensyarah pula, kerjasama ini membantu mereka dalam penyelidikan dan perundingan,” tambah beliau. Dr Mohamed Mustafa juga berkata, dengan adanya Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dan program pengajian perniagaan di UUM, merupakan elemen dan kekuatan UUM untuk dipilih dan diberi kepercayaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), MCRA dan Mydin dalam menerajui program ini. ICoE merupakan signature program KPT yang menyokong kepada kelancaran ETP. Sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, sektor pemborongan, peruncitan dan pengagihan telah dikenalpasti bagi memperhebatkan usaha ini yang melibatkan MCRA bersama UUM dan disokong oleh Kolej Universiti Segi dan Mydin bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM Perak) dan UUM.

UUM Online