SMECorp bangunkan tujuh model SCORE

SME Corp. Malaysia (SME Corp) telah membangunkan tujuh model Penyenaraian Persaingan Pengusaha Kecil dan Sederhana Untuk Perkembangan (SCORE) sejak 2007 dan enam daripadanya telah digunakan.
Source: Utusan Malaysia - 11 April 2011

KUALA LUMPUR 10 April - SME Corp. Malaysia (SME Corp) telah membangunkan tujuh model Penyenaraian Persaingan Pengusaha Kecil dan Sederhana Untuk Perkembangan (SCORE) sejak 2007 dan enam daripadanya telah digunakan. Salah satu model SCORE tersebut ialah perkilangan dengan 31.5 peratus penilaian, perkhidmatan (28.1 peratus), pembinaan (18.2 peratus), ICT (21 peratus) serta perkhidmatan profesional (1.2 peratus). Manakala satu model SCORE bagi sektor pelancongan masih dalam proses pembangunan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim.

Katanya, SCORE merupakan satu mekanisme mengukur prestasi dan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi pengurusan, aplikasi teknologi, inisiatif dalam mendapatkan persijilan, keupayaan kewangan dan kualiti produk yang dikeluarkan.''Sehingga Disember tahun lalu, seramai 5,246 PKS telah dibuat penilaian SCORE. ''Kini, SCORE digunakan untuk mengenal pasti syarikat-syarikat PKS bertaraf tiga dan empat bintang untuk Program Rantaian Industri (ILP) dengan pasar raya besar TESCO, Carrefour, Giant dan Mydin,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Sehingga kini, 49 PKS telah pun tersenarai dan dipilih sebagai pembekal kepada pasar raya besar yang mana kesemuanya telah memperolehi tiga bintang atau lebih serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pasar raya besar.

Kata Hafsah, bagi syarikat-syarikat yang mendapat tiga bintang dan ke atas pula akan dihubungkan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan syarikat multinasional bagi membolehkan turut serta dalam misi perdagangan dan pameran.Jelas beliau, SCORE juga telah digunakan sebagai mekanisme untuk membantu menyenarai pendek syarikat-syarikat PKS yang terlibat dalam pelbagai program anugerah.Salah satunya, menurut Hafsah ialah Anugerah Usahawan 50 dan Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan anjuran SMECorp serta Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Pembangunan PKS merupakan komponen penting bagi Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan status negara maju menjelang 2020. "PKS mempunyai peranan penting dalam ekonomi yang mana merangkumi 99.2 peratus daripada keseluruhan syarikat di negara ini,'' ujar beliau. Menyedari betapa pentingnya peranan PKS, tambah Hafsah, SMECorp terus menggiatkan usaha dalam membangunkan PKS negara melalui pelbagai program pembangunan."Sebagai agensi penyelaras pusat PKS, SMECorp. telah diberikan tanggungjawab yang lebih luas untuk menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan dasar, strategi serta program pembangunan PKS yang dikendalikan lebih daripada 15 buah kementerian dan 60 agensi kerajaan,'' ujarnya.Menurut beliau, SMECorp juga berfungsi sebagai pusat rujukan setempat bagi PKS untuk mendapatkan maklumat mengenai program pembangunan serta bantuan yang disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan merentasi semua sektor ekonomi, selain menjalankan kajian yang berkaitan dengan pembangunan PKS.