Tujuh projek baharu ETP dilancar

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 23 inisiatif bagi mewujudkan kekayaan baru dan membangunkan ekosistem negara yang mampu menarik pelaburan berbilion ringgit.
Source: Utusan Malaysia - 20 April 2011
Najib Tun Razak bersama sebahagian pemimpin korporat pada Majlis Pengumuman Program Transformasi Ekonomi di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 19 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 23 inisiatif bagi mewujudkan kekayaan baru dan membangunkan ekosistem negara yang mampu menarik pelaburan berbilion ringgit. Inisiatif baru itu yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak dengan Unit Inovasi Khas (Unik) di bawah Pejabat Perdana Menteri juga mampu menggali kekayaan intelektual negara.

Perdana Menteri ketika melancarkan Inisiatif Penjanaan Kekayaan Baru dan Pembangunan Ekosistem Negara itu berkata, ia akan menjadi hala tuju baharu yang memberi impak positif kepada penjanaan kekayaan negara.

Menurut Najib, projek berkenaan antaranya meliputi:

  • Menukar sisa buangan kelapa sawit kepada produk bermargin tinggi.
  • Menghasilkan perisian yang mampu memantau corak penggunaan tenaga sekali gus membantu menjimatkannya.
  • Penghasilan ubat semula jadi kanser serviks oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).
  • Penghasilan kit diagnostik oleh Universiti Malaya (UM) yang boleh mengesahkan penyakit denggi dalam empat jam.
  • Menghasilkan teknologi terkini dalam industri diod pancaran cahaya (LED).
  • Kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menghasilkan enjin carian Internet yang sangat tepat.
  • Kata Perdana Menteri, pasaran global untuk sektor-sektor itu dianggarkan bernilai RM1.46 trilion yang sangat menguntungkan Malaysia walaupun hanya sedikit penglibatan dalam segmen berkenaan.‘‘Kesan limpahannya sangat jauh dan akan mempertingkatkan kemahiran teknikal dan perniagaan seluruh rangkaian bekalan, tidak seperti inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D), projek berinovasi ini berjaya menarik pelanggan antarabangsa sebelum pelancarannya lagi,” katanya di sini hari ini.

    Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif Unik, Datuk Kamal Jit Singh.

    Pada majlis yang sama, Najib turut menyaksikan pemeteraian hubungan strategik antara rakan usahasama Unik bagi mengkomersialkan projek berkaitan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pewujudan kekayaan baharu, hak harta intelek daripada universiti dan institusi penyelidikan awam serta inisiatif ekosistem.

    Menurutnya, lebih 1,000 projek telah diteliti dengan 113 dikenal pasti mempunyai potensi dikomersialkan yang dianggarkan bernilai RM316 bilion.‘‘Kita harus menembusi pasaran global bagi menawan sebahagian daripada nilai ini dan hasilnya akan dapat kita lihat sebelum suku kedua 2012,” katanya.