TUKAR ubah kedai

SKM beri bantuan RM 20,000 naik taraf premis
Source: Berita Harian - 01 March 2011

Temerloh: Program Permodenan Kedai Runcit (TUKAR) dapat mengubah suasana kedai ketika ini yang disifatkan sebagai huru hara kepada premis lebih teratur bagi menyaingi kedai runcit asing beroperasi dinegara ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program itu membabitkan dua kategori iaitu bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau dilatih tiga pengendali pasar raya besar iaitu Mydin, Carrefour serta TESCO yang berperanan sebagai perunding.

Bagaimanapun, beliau berkata, SKM akan memberi tumpuan untuk membantu menaik taraf kedai runcit diusahakan koperasi terutama disekitar kawasan luar Bandar menerusi peruntukkan RM 20 juta dengan setiap premis memperoleh bantuan kewangan antara RM 20,000 hingga RM 60,000. Selama ini, kedudukan barangan dalam kedai runcit sering dalam keadaan berterabur hingga menyukarkan peniaga mencari barangan yang mahu dibeli pengguna, malah situasi itu menyebabkan stok barangan rosak kerana tidak disimpan dengan baik.

Bagaimanapun, menerusi program ini, kedai runcit akan melalui proses transformasi apabila susun atur lebih sistematik, pengurusan akaun dan barangan lebih baik, selain latihan kepada kakitangannya dari semasa ke semasa ,katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Koperasi Peserta FELCRA Rumpun Makmur Temerloh Berhad dan pelancaran program TUKAR Koperasi disini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin; Pengarah SKM Pahang, Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Peserta FELCRA Rumpun Makmur Temerloh Berhad, Azmi Mat Yusoh.

Ismail Sabri berkata, ketika ini, pelabur asing tidak dibenarkan membuka premis perniagaan mereka dengan sewenang-wenangnya, tetapi keadaan akan berubah apabila bermulanya liberalisasi kerana aktiviti perniagaan dan perdagangan tidak boleh disekat lagi. “Ketika ini, masih ada halangan untuk pelabur asing buka pasar raya besar dinegara ini, dan pada masa yang sama, kedai runcit perlu dimodenkan bagi membolehkan peniaga tempatan bersaing dengan pelabur luar terbabit. “Jika tidak, lama kelamaan peniaga runcit ini akan lenyap daripada pasaran,”katanya. Beliau berkata, keseluruhannya 600 kedai runcit akan melalui proses perubahan menerusi program TUKAR dan daripada jumlah itu, 100 daripadanya dikendalikan SKM dengan kerjasama FELDA Trading Berhad sebagai perunding dan mentor program itu untuk koperasi.