Yee Sang 880 Meter Pecah Rekod

Source: Berita Harian - 08 February 2012

Pasar raya MYDIN Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat sini, berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) menerusi acara menggaul Yee Sang 1Malaysia terpanjang sejauh 880 meter, malam kelmarin. Yee Sang yang digaul seramai 2,000 tetamu pelbagai kaum dihasilkan selama dua hari oleh enam chef tempatan serta dibantu 60 orang itu berkonsepkan naga air dengan bahagian kepala dan ekornya dihiasi lampu.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata Yee Sang halal itu menggunakan bahan utama seperti ikan serta sayur-sayuran dengan kos keseluruhan RM 80,000. Beliau berkata, program itu hanya diadakan di pasar raya Mydin MITC Ayer Keroh daripada 96 cawangan pasar raya Mydin bertujuan memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina 2012. “Selain orang ramai menggaul Yee Sang, kami juga mengundang pasukan tarian singa dan naga selain persembahan kebudayaan Cina dan akrobatik yang dibawa khas dari China,” katanya.

Penyampaian sijil MBR disempurnakan Pengarah Urusan MBR, Datuk Danny Ooi kepada Ameer.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Ameer berkata, sempena sambutan Tahun Baru Cina, pihaknya mengadakan pertandingan mencipta bunga dengan tiupan, pertandingan meneka bilangan limau dan umur tertua. “Seramai 100 orang menyertai pertandingan itu dan johan akan menerima wang tunai RM 1,500 kedua (RM 1,000) serta ketiga RM 800,” katanya.