Ziana Zain Gegarkan Mydin Mall

 

Ziana Zain (dua dari kiri) dan Carmen Foo (kiri) menyampaikan produk Antabax secara percuma kepada orang ramai di Mydin Mall, Kubang Kerian, semalam

 

KOTA BHARU - Ruang legar pusat beli-belah Mydin Mall di sini hari ini bertukar menjadi mini konsert dengan kehadiran penyanyi dan pelakon terkenal tanah air, Siti Roziana Zain atau lebih popular sebagai Ziana Zain.

Ziana hadir dengan menyanyikan lagu hit beliau bertajuk Pawana serta Madah Berhelah ketika mempromosikan produk penjagaan kebersihan Antabax sempena program Kekal Bersih dan Sihat Dengan Program CSR Antabax Mencegah Keracunan Makanan di Kelantan.

Kehadiran Ziana, 43, yang juga duta Antabax kira-kira pukul 3.30 petang menjadi tarikan utama para pengunjung selain produk itu sendiri, apabila kebanyakan mereka segera berkumpul di ruang pameran produk Antabax dan pentas pelancaran program yang disediakan.

Turut hadir Pengurus Besar Wilayah Timur Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd. (LSEO), Tan Eng Hak; Pengurus Pemasaran LSEO, Carmen Foo dan Pengurus Cawangan Mydin Mall Kota Bharu, R. Naidu.Carmen dalam ucapannya berkata, program tersebut dijalankan di negeri ini memandangkan Kelantan merekodkan sebanyak 1,921 kes keracunan makanan sepanjang 2010.

"Jumlah itu yang dilaporkan dari Januari hingga Oktober tahun lalu menunjukkan peningkatan 38 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya," katanya. Sementara itu, Ziana ketika berkongsi pengalamannya menggunakan produk tersebut berkata, Antabax membantu menjamin keselamatan dirinya dan keluarga terutama daripada ancaman bakteria. "Saya telah menggunakan produk ini selama dua tahun dan amat berpuas hati kerana kebersihan kami sekeluarga sentiasa terjamin," kata ibu kepada empat orang anak ini.