ext2 ext3 ext4
Pilih bahasa anda:
B.INGGERIS | B.MALAYSIA
Main  >  MYDIN di MITC Melaka


 Mydin di MITC Melaka                                       Utusan online | 28 Febr

 

 

MOHD. Ali Rustam (tengah) dan Ameer Ali Mydin (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus pada Majlis pecah tanah Pasar Raya Besar Mydin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh Melaka, semalam.

MELAKA 28 Feb. - Pasar raya borong terbesar, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan membuka rangkaiannya di kawasan pusat perniagaan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini dengan mensasarkan jualan sebanyak RM17 juta sebulan.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pembinaan itu merupakan sebahagian daripada rancangan pihaknya mewujudkan tujuh buah pasar raya besarnya yang kini dalam pembinaan di seluruh negara.

 

Menurutnya, empat pasar raya Mydin akan beroperasi selain di Melaka iaitu di Kuantan (Pahang), Kubang Kerian dan Tunjung (Kelantan) dan tiga pasar raya besar di Ipoh (Perak) menjelang tahun depan.

''Kami mencatat jualan tahunan sebanyak RM1 bilion dari 24 pasar raya, termasuk dua buah pasar raya besar," katanya kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Pasar Raya Mydin yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini hari ini.

Menurut Ameer, pembinaan pasar raya tersebut yang menelan kos sebanyak RM100 juta dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 1,000 orang anak tempatan terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan tersebut kelak.

Katanya, pembinaan pasar raya itu dijangka siap menjelang bulan Mac tahun depan.

''Kita yakin mampu menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke pasar raya baru ini memandangkan kedudukannya yang agak strategik iaitu laluan pintu masuk utama Ayer Keroh ke pusat bandar," katanya.

Beliau berkata, pasar raya baru itu kelak dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tapak meletak kenderaan, lot-lot kedai dan medan selera selain memperkenalkan konsep binaan yang berlainan iaitu berteraskan budaya masyarakat tempatan khususnya baba dan nyonya.

''Di bandar raya ini apabila pasar raya Mydin di MITC siap kelak, Mydin sudah mempunyai tiga rangkaiannya iaitu sebuah hypermarket, emporium dan bazar 24 jam di Bandar Hilir.

''Usaha Mydin ini sekali gus membantu usaha kerajaan negeri yang kini sedang giat merancakkan industri pelancongannya terutama menarik lebih ramai pelancong asing berkunjung ke Melaka pada depan," katanya.

 

© Copyright 2007. All rights reserved. Powered by