ext2 ext3 ext4
Pilih bahasa anda:
B.INGGERIS | B.MALAYSIA
Main  >  Rebut Peluang Harga Murah


2 Januari 2009 myMetro >> setempat

Rebut peluang harga murah

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Menjelang empat hari sebelum pembukaan semula musim persekolahan, orang ramai khususnya ibu bapa menggunakan peluang cuti umum sempena tahun baru, semalam, untuk membeli barang keperluan anak mereka pada saat akhir.

Malah, ada di antara ibu bapa yang sanggup datang ratusan kilometer semata-mata ingin mendapatkan barangan keperluan persekolahan yang jauh lebih murah selain membawa anak-anak bercuti di ibu kota.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pusat beli-belah mahupun pasar raya besar di sekitar ibu negara mendapati potongan harga sehingga 60 peratus ditawarkan membuatkan ibu bapa sanggup datang daripada jauh semata-mata untuk merebut peluang berkenaan.

Antara barangan yang menjadi pilihan, buku rujukan sekolah, alat tulis, pakaian seragam, beg dan kasut. Seorang bapa, Mislan Samsudin, 35, dari Sarawak berkata, hampir setiap tahun dia ke ibu negara, semata-mata ingin mendapatkan harga murah.“Selain itu, di sini, barangan keperluan seperti kasut, alat tulis dan sebagainya boleh didapati dalam aneka bentuk berbanding di Sarawak.

“Bukan harga menjadi ukuran tetapi kehendak anak-anak yang pelbagai dan saya hanya ikut saja kemahuan mereka asalkan mereka bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan,” katanya.

Berlainan pula dengan seorang ibu yang memang menunggu saat akhir untuk membeli-belah kerana dakwanya barangan kelengkapan sekolah akan jauh lebih murah sekiranya dibeli pada saat akhir iaitu beberapa hari sebelum sesi persekolahan dibuka.

Rohaya Abdul Manan, 45, berkata dia serta suami memang sengaja menunggu untuk membeli-belah pada saat akhir kerana barangan boleh didapati dengan harga lebih murah.

“Alhamdulillah hampir setiap tahun kami berbuat demikian dan tekaan kami bahawa barangan kelengkapan akan lebih murah sekiranya dibeli pada saat akhir tidak pernah meleset sama sekali.

“Lagipun kami memang jenis yang suka berbelanja dalam suasana serba sederhana maka sebelum membeli saya terlebih dulu merancang segalanya barulah buat keputusan,” katanya.

Dia turut menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan memberi buku teks secara percuma kepada semua pelajar sekolah.

“Kalau tiada buku teks percuma, saya terpaksa berbelanja RM180 untuk membeli buku teks anak sekolah rendah manakala RM250 bagi sekolah menengah,” katanya.

© Copyright 2007. All rights reserved. Powered by