|
SUBANG JAYA 11 Mei – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama 20 agensi kerajaan dan syarikat swasta menjalin usahasama untuk mewujudkan satu program perkongsian bestari bagi membantu membangunkan masyarakat.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, perkongsian yang julung- julung kali diadakan itu akan membuka peluang kepada masyarakat untuk menceburkan diri ke dalam bidang keusahawanan dan kemahiran.
Menurutnya, menerusi usahasama itu, beberapa program pembangunan usahawan dan program latihan seni kulinari akan ditawarkan kepada orang ramai.
“Kita sangat berbesar hati kerana banyak syarikat besar sanggup bersama-sama menyumbangkan kepakaran untuk penduduk Subang Jaya,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perkongsian bestari tersebut di sini baru-baru ini.
Antara agensi kerajaan dan pihak swasta yang terlibat dalam perkongsian itu ialah Giant Hypermarket, Subang Parade, AEON Co. (M) Bhd., Mydin Mohamad Holdings Bhd., Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Universiti Sains Malaysia (USM), CIMB Bank, KPJ Selangor, Genaxis, MBF Cards, MARES, Ace Academy of Creative Excellence, Animasia Studio Sdn. Bhd., Taa Tih Sdn. Bhd. dan Nonnee Enterprise.
Majlis menandatangani memorandum tersebut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.
Adnan berkata, banyak program keusahawanan akan disusun seperti bengkel jahitan dan sulaman kreatif bagi memberi peluang kepada ibu tunggal serta individu yang tidak berkemampuan menceburi bidang perniagaan.
“Manakala program latihan seni kulinari pula membolehkan masyarakat berpeluang untuk mendapat tunjuk ajar bagi menceburi bidang perniagaan makanan.
“Ini akan memberikan peluang kepada golongan sasar untuk menjadi usahawan, seterusnya menjana pendapatan hasil daripada program yang mereka sertai,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, melalui program perkongsian bestari itu, MPSJ akan memperoleh peluang untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan di kalangan kakitangannya.
Adnan menambah, perkongsian itu juga mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara MPSJ dengan agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang terlibat.
“Kesan dari itu, akan timbul satu perkongsian inovasi yang berfaedah kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Sementara itu, MPSJ juga akan menjadikan aktiviti jamming sebagai aktiviti rekreasi berkonsepkan pendidikan tidak formal kepada masyarakat khususnya kepada remaja.
Katanya, terdapat juga program untuk menjadikan penghasilan anak patung sebagai ejen pendidikan dan pembangunan kepada kanak-kanak.
Beliau menjelaskan, program-program itu diyakini mampu menyumbangkan kepada usaha membangunkan modal insan yang pelbagai kemahiran.
|