Back
13 June 2014

PROGRAM MYMERDEKA PUPUK SEMANGAT PATRIOTIK

 

Program MyMerdeka sempena bulan kemerdekaan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan dapat membuat rakyat kembali mengenang sejarah tanah air. Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohid Mohamed berkata kesedaran perlu dipupuk dari awal kerana pemikiran yang cetek boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dan salah faham. “Ini membawa kepada tindakan menghina negara, pemimpin serta sistem demokrasi itu sendiri. "Justeru penting untuk memahami erti kedaulatan dan kepentingan nilai jati diri,” katanya ketika merasmikan program MyMerdeka di pasar raya Mydin USJ, Subang Jaya hari ini.

 

Program MyMerdeka pupuk semangat patriotik

 

Antara program yang berlangsung dalam program itu ialah pameran, kuiz merdeka, tayangan dokumentari, swafoto bertemakan kemerdekaan dan persembahan artis. MyMerdeka merupakan program jelajah anjuran Jabatan Penerangan bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa bertujuan menyampaikan informasi kenegaraan dalam bentuk hiburan bermaklumat. Mydin adalah rakan strategik bagi program berkenaan. Menurut Mohid, program yang dianjurkan itu sesuai disertai semua peringkat umur dan permainan yang ditawarkan sesuai dengan pendekatan terkini. Justeru Mohid berkata penganjuran program ini juga adalah untuk memupuk semangat kasih sayang dan beliau menggesa rakyat supaya jangan mencalarkan imej negara dengan mengeluarkan kata-kata kesat atau mensabotaj usaha murni kerajaan.

 

“Kita sudah merdeka 60 tahun, merdekakan juga jiwa sempit dan jangan fikir asyik nak bertelagah sesama sendiri saja. “Kita berhak menikmati kesejahteraan negara tanpa ada rasa prejudis perkauman dan sebagainya, tambahan pula kita ada dua matlamat kita sekarang ialah sasaran wawasan 2020 dan berusaha melaksana Transformasi Nasional (TN50),” katanya. MyMerdeka akan dilaksanakan di zon tengah (Mydin Subang Jaya 28-30 Julai 2017), zon utara (Mydin Bukit Mertajam 11-13 Ogos), zon timur (Mydin Gong Badak 17-19 Ogos), zon selatan (Mydin Ayer Keroh 8-10 September) dan zon barat (Mydin Meru Raya 15-17 September).

 

Sumber : Malaysiakini