Back
13 June 2014

SEMARAK SEMANGAT PATRIOTIK

 

Semarak Semangat Patriotik

Mohid (tiga, kanan) mengibarkan bendera Malaysia sebagai simbolik perasmian Program My Merdeka.

 

SUBANG JAYA - Sektor swasta digalak menyertai dan bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam melaksanakan program berkaitan sambutan Hari Kemerdekaan. Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohid Mohamed berkata, usaha itu dilihat mampu menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan di samping menerapkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat. “Penglibatan seluruh masyarakat dalam program sambutan kemerdekaan ini adalah sangat penting. “Kita tidak mahu program sambutan ini hanya melibatkan agensi kerajaan semata-mata," katanya selepas melancarkan program MyMerdeka, semalam. Program anjuran Jabatan Penerangan itu melibatkan kolaborasi bersama Pasaraya Mydin. Mengulas lanjut mengenai program itu, Mohid berkata, MyMerdeka merupakan salah satu aktiviti bersama rakan strategik yang dianjur sempena sambutan Bulan Kebangsaan. “Ini  kali kedua Mydin terlibat secara aktif menjayakan program ini dan ia memberi makna yang cukup signifikan kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat. “Saya berbesar hati kerana Mydin  pemegang status syarikat peruncit dan pemborong terkemuka di negara ini yang sama-sama berjuang memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya pengunjung,” katanya. Katanya, program berkonsepkan pusat sehenti dengan gabungan aktiviti komunikasi visual dan bersemuka ini dibahagikan kepada dua segmen iaitu pameran dan aktiviti. “Sepanjang sambutan ini kita adakan pelbagai aktiviti seperti pameran bahan sejarah terutama untuk golongan muda,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian