Back
13 June 2014

MYDIN MUTIARA RINI DIBUKA

Mutiara Rini Kini Dibuka

MYDIN Mutiara Rini

 

SYARIKAT peruncit dan pemborong tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) membuka cawangan ke-6 di Johor yang terletak di Mutiara Rini. Majlis pembukaan Mydin Mutiara Rini disempurnakan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, semalam. Ameer Ali berkata, Mydin Mutiara Rini adalah pasar raya besar Mydin ke-27 di seluruh negara dan ia terletak di kawasan bandar baharu yang sedang rancak membangun serta mempunyai potensi pasaran baik. “Alhamdulillah, selepas pembukaan Mydin Petra Jaya di Kuching minggu lalu, kami membuka satu lagi cawangan pasar raya besar Mydin di Johor," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Mydin Mutiara Rini di sini, semalam.

 

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud; Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad; ahli lembaga pengarah Mydin serta keluarga; wakil jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan; kontraktor dan jurutera; pembekal; penyewa lot dan bazar jualan serta orang awam. Ameer Ali berkata, penduduk di sekitar kawasan Mutiara Rini, khususnya bandar raya Iskandar Puteri mempunyai lokasi baharu untuk membeli-belah. “Saya yakin dan percaya, kewujudan Mydin di sini, pastinya dapat mempromosikan kawasan Mutiara Rini sebagai salah satu pusat untuk mendapatkan barangan secara borong. “Selain itu, dapat memberikan alternatif lain untuk warga setempat mendapatkan barangan keperluan mereka dengan akses lebih mudah pada harga berpatutan dan seterusnya mampu menjana ekonomi setempat,” katanya. Beliau berkata, Mydin memilih lokasi itu selepas mengambil kira keadaan sosioekonomi dan demografi masyarakat setempat. Menurutnya, dalam usaha membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan produk, Mydin Mutiara Rini mempunyai rak khusus untuk produk tersebut seperti rempeyek, dadih, rempah masakan, sos dan pelbagai lagi.

 

“Pelbagai fasiliti disediakan di Mydin Mutiara Rini seperti perkhidmatan WiFi, surau, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), 1,386 lot parkir, tempat permainan kanak-kanak, bilik penyusuan bayi, kereta sorong bayi, medan selera, selain kemudahan membeli-belah yang kondusif. “Mydin Mutiara Rini juga sangat mengalu-alukan kesudian semua pihak mengadakan aktiviti mahupun acara rasmi di sini. "Pastinya dengan segala prasarana tersedia ada di Mydin Mutiara Rini, mampu membantu anda melaksanakan aktiviti dan acara dengan jayanya di sini,” katanya. Mydin Mutiara Rini adalah cawangan ke-6 di Johor selepas Mydin Mart Bandar Baru Uda; Bazar Mydin Anjung Nusajaya; pasar raya besar Mydin Kulai; pasar raya besar Mydin Taman Rinting serta pasar raya Mydin Pelangi Indah.

 

Mutiara Rini Kini Dibuka 01

 

Operasi perniagaan pasar raya besar Mydin Mutiara Rini bermula jam 9 pagi hingga 11 malam setiap hari dan dilengkapi dengan 33 kaunter pembayaran. Nilai pelaburan mendirikan Mydin Mutiara Rini adalah RM250 juta dengan keluasan keseluruhan bangunan sebanyak 768,482 kaki persegi. Daripada keluasan keseluruhan tersebut, 249,305 kaki persegi adalah keluasan pasar raya menjual pelbagai jenis segmen barangan seperti pasar segar, barangan makanan, aksesori, kesihatan, kecantikan, alat tulis, barangan Muslimin, pakaian, barang kelengkapan isi rumah dan peralatan sukan. Bahagian Mall pula berkeluasan 519,177 kaki persegi merangkumi 65 lot kedai jualan, 13 bazar jualan dan kawasan tempat letak kenderaan. Pembukaan Mydin Mutiara Rini juga mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat. Sempena pembukaan Mydin Mutiara Rini, pelbagai tawaran istimewa diberikan kepada pelanggan antaranya promosi GrabCar, baucar diskaun daripada penyewa, promosi harga istimewa, baucar RM5 kepada pemegang keahlian baru dan pembaharuan keahlian Kad Meriah.

 

Sumber : Sinar Harian