Back
13 June 2014

MYDIN DIPELAWA PERLUAS OPERASI DI SARAWAK

Mydinbukkaktransformed

 

KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Mydin hadir pada majlis pembukaan Kompleks Pasaraya Besar Mydin Petra Jaya, petang tadi. - Foto Nadim Bokhari

 

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak mempelawa Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memperluaskan operasi rangkaian pasar raya besarnya ke bandar utama lain di negeri ini bagi membantu rakyat mendapatkan lebih banyak pilihan barangan keperluan harian pada harga yang lebih kompetitif. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata selain membantu menyediakan kemudahan rakyat berbelanja, pasar raya besar dikendalikan syarikat itu berpotensi dijadikan instrumen promosi dan pemasaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak. "Kita menghargai komitmen Mydin membuat pelaburan besar mengembangkan perniagaannya di bandar raya Kuching. Kita yakin dengan sambutan baik rakyat Sarawak, ia membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke bandar lain di negeri ini seperti Miri, Bintulu dan Limbang," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Kompleks Pasaraya Besar Mydin Petra Jaya, di sini, petang tadi. Mydin Petra Jaya adalah cawangan ketiga pasar raya besar itu selepas Mydin Samariang dan Mydin CityOne. Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Mydin berkata, syarikat melabur RM200 juta untuk membina Mydin Petra Jaya. "Keluasan keseluruhan bangunan Mydin ini ialah 812,090 kaki persegi dengan 299,598 kaki persegi adalah keluasan pasar raya yang menjual pelbagai jenis segmen barangan seperti pasar segar, barangan makanan, aksesori, kesihatan, kecantikan, alat tulis dan banyak lagi. "Bahagian mall yang berkeluasan 512,492 kaki persegi pula merangkumi 52 lot kedai jualan dan 10 bazar jualan," katanya. Beliau berkata, kemudahan lain disediakan ialah 1,133 lot parkir kenderaan dan dua pentas besar dalam dan luar kompleks berkenaan untuk penganjuran pelbagai acara lengkap dengan sistem bunyi dan pencahayaan serta bilik kenamaan.

 

Sumber : Berita Harian