Back
13 June 2014

LANTIKAN PENGERUSI, AHLI MAJLIS MARA BERDASARKAN MERIT

Mutiara Rini Kini Dibuka

Menteri Pembangunan Luar Bandar rina Mohd Harun (kiri) bersama Pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (Mara) Dr Hasnita Hashim ketika sidang media khas memperkenalkan Ahli Majlis Mara baharu di Ibu Pejabat Mara hari ini. - Foto Bernama

 

KUALA LUMPUR - Pelantikan pengerusi dan ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu dibuat berdasarkan merit dan profesionalisme individu terbabit dan bukan terdiri daripada kroni mana-mana pemimpin negara.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata, kesemua enam anggota majlis tersebut dan pengerusinya Dr Hasnita Hashim mempunyai kepakaran dan latar belakang yang diyakini mampu membawa Mara ke tahap yang lebih tinggi.

 

“Tiada, bukan lantikan Tun (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad). Biasalah kalau lantik orang politik, ada cakap ini lantikan politik, apabila lantik golongan profesional, ada juga cakap.

 

Saya raikan kepelbagaian pandangan tersebut tapi kita harap kita cuba sedaya upaya membuat perubahan untuk kebaikan Mara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media hari ini mengumumkan pelantikan Hasnita yang juga Pengerusi Maybank Asset Management Group sebagai Pengerusi Mara.

 

Kenyataan itu turut mengumumkan enam anggota Majlis Mara yang baharu iaitu Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Sri Prof Dzulkifli Abdul Razak; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

 

Ahli majlis Mara yang lain terdiri daripada Pengerusi Mayban Life Assurance Berhad, Datuk Syed Tamim Ansari Syed Mohamed; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad (AMB), Zakri Khir.

 

Pelantikan berkenaan berkuatkuasa 1 Oktober ini.

 

Mengulas lanjut, Rina berkata Mara di bawah pimpinan baharu akan memberi tumpuan terhadap penambahbaikan dalam bidang pendidikan, pelaburan dan keusahawanan.

 

Beliau turut menegaskan Mara kekal di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan tidak akan diserap di bawah kementerian lain.

 

"Saya yakin dengan kemampuan ahli majlis yang baharu ini mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik," katanya yang tidak menolak kemungkinan akan ada rombakan untuk kebaikan institusi tersebut.

 

Sementara itu, Hasnita yang hadir pada sidang media sama berkata anggota majlis yang dilantik menerajui institusi itu akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaiknya.

 

"Mungkin akan ambil masa untuk menetapkan pelan perancangan untuk masa depan Mara terutama dalam membangunkan masyarakat luar bandar dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan pelaburan," katanya. – Bernama

 

Sumber: Sinar Harian