Back
13 June 2014

PASAR RAYA MAIN PERANAN TENTUKAN HARGA BARANG

Mutiara Rini Kini Dibuka

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail (tengah) meninjau harga bawang ketika melawat gerai jualan pada Majlis Pelancaran Kempen Harga Patut (KHP) 2018 Peringkat Kebangsaan malam ini. Turut sama Ketua Menteri Melaka Adly Zahari (kiri). - Foto Bernama.

 

MELAKA - Pasar raya besar di negara ini boleh memainkan peranan penting dalam menentukan harga barang keperluan seterusnya membantu rakyat mengatasi isu sara hidup yang meningkat.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun bilangan syarikat pasar raya besar di negara ini kecil sekiranya dibandingkan dengan syarikat peruncit lain, namun mereka menguasai bahagian pasaran yang besar dalam pasaran barang keperluan rakyat.

 

Selain itu katanya, pasar raya besar juga membuat pembelian barangan dalam jumlah banyak dan secara kontrak jangka panjang daripada pengeluar yang mekanisme itu membolehkan pasar raya menentukan harga barangan yang dijual kepada rakyat itu berpatutan.

 

"Apabila saya turun (mengadakan lawatan) saya datang serta bertanya sendiri kepada pemilik pasar raya besar ini apa 30 barangan yang rakyat datang belanja, apa yang mesti masuk dalam troli mereka, antaranya beras, minyak masak, telur, sosej dan lampin pakai buang.

 

"Daripada maklumat ini kami dapati harga barang ini masih stabil dan kementerian akan sentiasa memantau harga barangan ini," katanya ketika berucap melancarkan Kempen Harga Patut 2018 Peringkat Kebangsaan di Dataran Klebang di sini, malam ini.

 

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Adly Zahari. Kempen Harga Patut 2018 akan berlangsung sehingga Disember ini dan disertai 10 pasar raya besar seluruh negara bagi menjual barangan keperluan dengan harga berpatutan kepada rakyat.

 

Pasar raya besar itu ialah Aeon Co. Sdn Bhd, Tesco Stores (M) Sdn Bhd, GCH Retail (M) Sdn Bhd, Parkson Holdings Berhad, Lulu Hypermarket, The Store (M) Sdn Bhd, Econsave Cash and Carry Sdn Bhd, TF Valuemart Sdn Bhd, Mydin Mohamed Holdings Berhad dan KK Supermart.

 

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis itu Saifuddin Nasution berkata satu lagi faktor yang membolehkan pasar raya besar menentukan harga barang keperluan ialah mereka mengimport barang keperluan itu daripada negara pengeluar.

 

"Cara ini membolehkan pasar raya besar memintas peranan orang tengah yang membekalkan barangan itu, seterusnya barangan itu boleh didapati dengan harga lebih murah," katanya.

 

Selain itu, katanya banyak pasar raya besar juga mempunyai jenama mereka sendiri yang harga barangan itu jauh lebih murah daripada pasaran, seterusnya membantu memberikan harga terbaik kepada rakyat.- Bernama

 

Sumber: Sinar Harian